KESESUAIAN AKTA PENDIDIKAN 1996 DALAM MENGHADAPI PERUBAHAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA

NUR AIN SYAFIKA BINTI MOHD NOOR (D20211098478)

 


1. Menyelesaikan sekolah daif

Sekiranya terdapat sekolah yang daif dan bermasalah dari segi infrastruktur dan keselamatan, masalah ini perlulah dimaklumkan segera kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan segera oleh Kementerian Pendidikan Negara (KPM). Hal ini kerana, kemudahan ini perlulah diberikan keutamaan kepada sekolah-sekolah daif kerana ia melibatkan tentang keselamatan pelajar, guru dan kakitangan sekolah. Misalnya, jika berlaku kemalangan yang tidak diingini terhadap pelajar sudah pasti sekolah itu akan bertanggungjawab kerana dianggap cuai kerana tidak menilai tahap keselamatan pelajar di sekolah. Oleh itu, kerajaan telah memperuntukan RM746 juta bagi menaiktaraf sekolah-sekolah daif di seluruh negara. Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022, peruntukan itu turut merangkumi naik taraf melibatkan 112 projek sekolah daif di Sabah dan 165 projek di Sarawak. Jelaslah bahawa, kesesuaian dan kemudahan pelajar amat penting dalam melahirkan modal insan yang berkesan dalam pelbagai aspek.

 

2. Rancangan Makanan Tambahan (RMT)

Tujuan utama program ini adalah untuk menyediakan makanan berkhasiat yang mengikuti nilai kalori dan amalan pemakanan yang seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan dan gaya hidup sihat yang boleh merangsang proses tumbesaran mereka. Program ini akan bermula pada pukul 7:00 a.m-8:30 a.m bagi sesi pagi. Tidak semua murid warganegara Malaysia sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang layak menikmati bantuan ini malahan murid prasekolah dan sekolah menengah tidak terlibat dengan program ini kerana mereka terlibat dengan tatacara perolehan yang berlaianan.  Program RMT didahulukan kepada pelajar yang lebih memerlukan kerana sudah pasti setiap sekolah mempunyai data latar belakang pendapatan ibu bapa yang memudahkan mereka untuk mengenal pasti murid yang asnaf atau keluarga M40 yang terkesan. Hal ini kerana, program RMT lebih baik kerana didahulukan kepada pelajar yang memerlukan namun jika diberikan kepada semua pelajar sudah pasti akan berlaku pembaziran kerana murid yang berkemampuan tidak mengambil bantuan tersebut. Oleh hal yang demikian, program RMT ini merupakan saranan ibu bapa pelajar bagi menggantikan program sarapan percuma yang dianggap lebih membazir.

3. Kesamarataan peluang pendidikan

Setiap warga Malaysia berhak mendapat peluang pendidikan yang adil dan sama rata tanpa mengira kaum dan budaya termasuklah golongan yang tinggal di kawasan pedalaman yang jauh daripada bandar. Perkara ini seiring dengan matlamat pendidikan 1996 iaitu untuk mewujudkan kesejahteraan masyarakat dan negara tanpa adanya diskriminasi kaum. Kesamarataan peluang pendidikan ini boleh dilihat dari segi jantina, kelas sosial, kumpulan minoriti dan kawasan pedalaman. Sebagai contoh, cara untuk mengimbangkan peluang pendidikan dari segi jantina ialah setiap guru dan sekolah perlu memainkan peranan membentuk persekitaran pembelajaran yang mana hak untuk belajar kurikulum tidak dikaitkan dengan jantina. Penggubalan dan penyemakan semula kurikulum perlulah mewujudkan satu kefahaman bagaimana pelajar dan guru harus bertindak terhadap pelbagai bahan pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini perlu dilakukan kerana pelajar lelaki dan perempuan mempunyai pemikiran dan gaya pembelajaran yang berbeza. Jelaslah bahawa, dengan adanya kesamarataan peluang pendidikan taraf pendidikan negara akan bertambah maju kerana mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif tanpa adanya isu pilih kasih.

 

4. Kurikulum Kebangsaan

Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua aspek pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan. Contoh tiga kandungan pengisian yang berbeza mengikut tahap ialah KSSK, KSSR dan KSSM. Seksyen 18 memperuntukan semua sekolah perlu mengikut kurikulum kebangsaan iaitu untuk membentuk warganegara yang dapat memberi sumbangan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Terbuktilah bahawa, Kurikulum Kebangsaan merupakan satu elemen yang sangat penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerana ia sangat berkait rapat antara satu sama lain dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi mengikut Akta Pendidikan Negara 1996.

 

5. Menekankan pendidikan berteraskan nilai murni

Pendidikan berteraskan nilai murni perlu disemai bagi meningkatkan akhlak mulia kepda murid-murid memandangkan mereka merupakan bakal pemimpin negara pada masa hadapan. Apabila KSSR dan KSSM diperkenalkan bagi menggantikan KBSR dan KBSM, pendidikan berteraskan nilai murni masih menjadi elemen penting dalam kurikulum yang perlu diterapkan dalam semua subjek dan matapelajaran. Menurut Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin, Universiti Teknologi Malaysia menyatakan bahawa nilai-nilai murni sebagai nilai teras organisasi sejajar dengan keperluan pendidikan negara yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar dapat membawa kesejahteraan dan memberi sumbangan kepada kemakmuran negara. Sebagai contoh, pelaksanaan Pendidikan Sivik dan Pendidikan Moral di sekolah yang berteraskan empat nilai iaitu kasih sayang, kegembiraan, hormat-menghormati dan bertanggungjawab. Nilai-nilai ini akan dipecahkan kepada beberapa topik kecil dengan penumpuan isu berkaitan cabaran masa kini seperti masalah sosial, kesihatan, pendidikan seksual, keselamatan jalan raya, hak asasi sebagai warganegara dan isu perpaduan. Dengan ini, dapat melahirkan pelajar yang berakhlak mulia dah bersahsiah yang mampu membawa ke arah pembangunan negara Malaysia.

Kesimpulannya, pendidikan amat penting kepada sesebuah negara kerana dengan adanya pendidikan sudah pasti sesebuah negara itu mampu melahirkan modal insan yang cendikiawan, berakhlak mulia dan mempunyai jati diri yang tinggi. Perkara ini sudah pasti akan membawa kepada kemajuan dan pemodenan kepada negara tersebut kerana rakyatnya yang boleh membawa kepada perubahan negara. Oleh itu, kerajaan perlulah menjalankan pelbagai inisiatif yang selari dengan kesesuaian Akta Pendidikan 1996 dalam menghadapi perubahan sistem pendidikan di Malaysia selari dengan peredaran zaman.

Comments

Popular posts from this blog

RUJUKAN / BAHAN

PERBANDINGAN KANDUNGAN AKTA PENDIDIKAN 1996 DAN AKTA PELAJARAN 1951 DALAM MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN PENDIDIKAN NEGARA

PENGENALAN NAMA AHLI KUMPULAN, NAMA PENSYARAH DAN AKTA PENDIDIKAN 1996